title

12 Mar 2012

Semasa hujan

Petang tadi hujan. Sebenarnya semenjak pagi atau dari semalam lagi. Suasana nyaman dan sejuk. Seronok tidur ni detik diri. Terasa culas nak ke masjid. Nafsu mula memberi idea alasan tak mahu ke masjid. Boleh membaca, tengok movie atau update blog. Tetapi hati memujuk untuk pergi jua ke masjid. Dalam dok bergadoh antara diri, nafsu dan hati, tiba-tiba teringat pada kata-kata ustaz semasa kuliah Maghrib.

"Jika hati terdetik untuk berbuat kebaikan, jangan dinafikan dia".

Lalu terasa diri dan nafsu mengalah, ku kuatkan diri bersiap dan terus ke masjid. Ku praktikan apa yang telah dipelajari, masuk kaki kanan, doa masuk masjid, solat tahiyatul masjid dan mengaji. Maghrib didahului dan diakhiri dengan solat sunat rawatib dan selepas itu mengikuti kuliah maghrib.

Dan betapa tersentak diri dan nafsu dan betapa terharunya hati apabila diingatkan oleh guru yang menyampaikan kuliah betapa jemaah menghadiri masjid pada ketika itu dipilih oleh Allah S.W.T. Diberi kekuatan olehNya untuk meninggalkan keselesaan rumah dan mengharungi hujan untuk  solat berjemaah dan duduk dalam sejuk mendengar kuliah agama.
Inilah peluang yang aku tidak boleh persiakan. Selanjutnya lagi guru menasihati supaya dimanfaatkan umur yang ada. Betapa dekat kita dengan maut setiap hari. Tambahlah ibadat wajib dengan ibadat sunat dan dekatilah masjid. Berjemaahlah setiap kali solat dan bangunkanlah solat malam.

Sesungguhnya Allah dengan kuasaNya memberikanku kekuatan untuk membuat keputusan yang tepat ini untuk mengunjungi rumahNya. Syukurku pada Allah S.W.T.

//Terdetik dihati ini untuk berpuasa sunat. Mampukah aku?

No comments: