title

6 Aug 2012

Buku : Pengantar Sejarah Patani




Di sudut paling hujung sebuah kedai buku yang kecil dan terpencil, kutemui permata berharga. 

Usai membaca Pengantar Sejarah Patani tulisan Ahmad Fathy Al-Fatani, Penerbit Pustaka Darul Salam, cetakan tahun 1994. 

Baru seminggu lepas buku ini dibeli dan tidak aku sangka semangat yang terkandung didalamnya membuatkan aku mampu menghabiskannya dalam tempoh singkat. Ku kira bukan mudah dengan mengambilkira aktiviti bulan Ramadhan yang agak "padat". Berdikit-dikit aku membacanya di pejabat.

Secara jujurnya buku ini bukan pilihan utama ketika aku di kedai buku, oleh kerana kekangan kewangan aku terpaksa memilih hanya dua dari tiga buku yang sedang ku pegang. Lalu dengan alasan kewangan juga aku memilih buku ini, selain dari rasa ingin tahu mengenai sejarah Patani.

Lalu yang lainnya menjadi sejarahlah. Sehelai demi sehelai semakin berminat aku mahu mengetahui mengenai Patani Darussalam. Mungkin juga kerana bentuk penceritaannya yang santai dan mudah di fahami. Aku dapat mengikuti setiap kronologi peristiwa dengan mudah, tidak "lost" di mana-mana zaman sekalipun.

Buku ini seperti mula-mula yang aku tulis tadi, ada semangatnya dan membacanya aku pun menjadi bersemangat. Buku yang bagus, apabila kita habis membacanya, hati kita masih terpaut pada isu yang di bawanya dan itulah  yang terjadi padaku. Tidak tahulah adakah kerana ada darah dari keturunan Patani yang mengalir dalam diriku, atau kerana tanah kelahiranku memang hampir dengan wilayah selatan Thai atau kerana aku memang prihatin dengan nasib malang yang menimpa umat Islam sekarang (Pada waktu post ini ditulis, umat Islam bangsa Rohingya di Myanmar sedang dibantai oleh penganut Budha Myanmar).

Walaupun buku ini diberi judul Pengantar Sejarah Patani, tetapi isi utamanya kukira adalah mengenai perangnya dengan Siam (sekarang Thailand). Perang yang bermula dari tahun 1563 dan berlarutan sehingga 1785 apabila Siam berjaya menawan Patani Darussalam. Kemudian diceritakan mengenai usaha rakyat Patani Darussalam untuk membebaskan diri mereka semula sehingga tahun 1950an dengan memberi "tribute" kepada tokoh ulama Haji Sulong. Akhir bab adalah mengenai tempat-tempat bersejarah di Patani Darussalam dan kesan penaklukan Siam dan  kemudiaannya Thailand ke atas Patani Darusslam dan rakyatnya.

Kepada mereka yang mempunyai darah keturunan Patani atau bertali saudara dengannya, buku ini wajar di baca. Kepada umat Islam Nusantara yang sayang kepada saudara Islam serumpunnya juga buku ini wajar dibaca. Kerana kita akan faham penderitaan saudara seIslam kita yang lain di dunia ini apabila rasa penderitaan saudara kita yang terdekat.

Selepas membaca buku ini aku tidak lagi melihat Patani dengan pandangan yang serupa.
Selepas membaca buku ini aku tidak lagi melihat Siam (Thailand) dengan pandangan yang serupa.

Ada kemungkinan "review" yang lebih mendalam mengenai buku ini akan menyusul.