title

31 Oct 2012

Buku : Cinta Suci Zahrana


Ada beberapa pekara yang aku suka tetapkan pada diri aku sendiri. Bukan peraturan, bukan sifir dan bukan hukum. Salah satu pekara itu ialah terus beli kalau jumpa benda-benda yang aku berkenan, yang telah lama aku cari atau yang memang aku cari. Biasanya buku kerana dalam banyak kejadian, yang dicari itu tiada lagi bila datang kali keduanya.Itulah yang aku lakukan bila terjumpa lagi karya Habiburrahman El Shirazy ini. Kalau novel-novel lain, aku akan ambil masa untuk fikir untuk beli dengan membaca ulasan dari internet terlebih dahulu. Tetapi novel Habiburrahman El Shirazy aku akan terus beli tanpa fikir panjang.
Cinta Suci Zahrana yang aku baca merupakan edisi bahasa Melayu terbitan Ar-Risalah. Permulaan novel ini masih menampakkan tipikaliti watak utama Habiburrahman El Shirazy. Sekurang-kurangnya dari tiga novel yang aku baca. Watak Dewi Zahrana seperti juga watak Ayyas dalam Bumi Cinta dan Fahri dalam Ayat-ayat Cinta menampilkan watak orang Indonesia super, yang baik dari segala segi, berpencapaian tinggi dan mampu mengatasi bangsa-bangsa lain. Agak tidak berpijak dibumi nyata. Dalam gaya yang lebih lunak Habiburrahman El Shirazy memang suka menaikkan semangat orang Indonesia khususnya dan muslim umumnya bahawa mereka dan kita sepatutnya dan boleh berjaya seperti itu. Aku pula lebih suka mendapati watak yang lebih tipikal kepada keadaan semasa muslim sekarang dalam karya Habiburrahman El Shirazy yang akan aku beli selepas ini. Untuk menjadi lebih adil, sebenarnya watak utama Cinta Suci Zahrana ini tidaklah sesuper Ayyas atau Fahri. Dalam bab pertama lagi kita sudah dapat membaca konflik yang melanda Dewi Zahrana yang juga tema utama novel ini.
Habiburrahman El Shirazy juga suka menggunakan kejituan lokasi dalam karyanya. Ayat-ayat Cinta mempunyai kejituan lokasi Mesir, Bumi Cinta mempunyai kejituan lokasi Rusia dan Cinta Suci Zahrana menggambarkan Semerang dan Beijing dengan baik sekali. 
Nilai dakwah yang dibawa oleh Habiburrahman El Shirazy dalam setiap karyanya tidak boleh dipertikaikan lagi. Kurang novel yang aku baca mampu memberi nilai dakwah sebegitu dengan tidak mengurangkan nilai sasteranya. Novel yang setara dengannya ialah Imam oleh Sasterawan Negara Abdullah Hussain.Novel ini walaupun tidak setebal Bumi Cinta namun berjaya mengetengahkan konflik yang lebih baik. Ayyas aku kira hanya bersuka-suka sahaja dalam Bumi Cinta, Zahrana pula terpaksa melalui masalah tipikal anak dara tua.
Tetapi aku tidak senang dengan jalan ceritanya. Boleh dikatakan juga kecewa. Seperempat buku menceritakan akan pencapaian Zahrana dan bagaimana dia boleh terlibat dengan konfliknya tetapi cara konflik itu ditamatkan agak mendadak. Kecuali Pak Sukarman, calon-calon suami Zahrana tidak diceritakan dengan terperinci akan sikap mereka. Hanya sebagai tempelan akan calon suami yang tidak ideal atau Islamik. Tidak diceritakan kenapa mereka mahukan Zahrana sebagai isteri. Malah Rahmad yang hampir berkahwin dengan Zahrana juga tidak mendapat tempat yang banyak dalam jalan cerita novel ini. Ini membawa pengakhiran yang lebih kurang serupa dengan Bumi Cinta. Watak yang paling dibazirkan ialah Edi Nughara. Aku menanti dengan penuh harapan yang Edi Nughara akan bernikah dengan Zahrana, tetapi tidak kesampaian.
Keseluruhannya Cinta Suci Zahrana merupakan novel dakwah yang baik dari Habiburrahman El Shirazy. Habiburrahman El Shirazy masih mempunyai sentuhan emas apabila mengadunkan karya cinta yang disukai remaja dengan dakwah dan sastera. Aku tidak akan berhenti mengumpul karya Habiburrahman El Shirazy ini.

6 Oct 2012

Kita adalah apa yang kita pilih


Semalam pergi dengar ceramah Zakir Naik. Masa lampu merah kat esplanade, pandang kanan, ternampak satu pasangan ni, yang perempuannya duduk cangkung kat celah paha boyfriend dia, bermesra-mesraan. Tak hirau pun orang lalu lalang. Aku rasa marah dan sedih, apalah yang boleh kita harapkan dari mereka berdua ni untuk bantu Islam. Semoga Allah S.W.T bagi hidayah pada mereka, sebelum yang perempuan itu terpaksa flush anak dia dalam tandas.
Sampai di Dewan Jubli Perak, terpaksa parking jauh dua kilometer. Alhamdulillah, cuaca baik. Sampai ke dewan, MasyaAllah, ramainya manusia. Dari sekeluarga membawa bayi, anak-anak muda lelaki dan perempuan kepada warga emas. Dewan penuh, luar dewan penuh, ajk terpaksa bawa keluar lebih banyak kerusi. Aku rasa gembira dan terharu, di saat kita rasakan segalanya sudah berakhir, Dia ciptakan harapan. Ceramah berlangsung baik, pihak urussetia tak henti-henti tawarkan tempat duduk kepada aku yang berdiri ni. Tapi aku menolak dengan baik kerana tidak bercadang lama di sini.
Ceramah mengenai Al-Quran dan sains. Banyak dikemukakan bukti yang menunjukkan Al-Quran itu seiring dengan sains. Banyak penemuan sains moden terbukti dalam Al-Quran yang berusia 1400 tahun lampau. Tetapi itu hanya menjadikan Al-Quran itu hanya setaraf dengan ensaiklopedia penemuan-penemuan sains sahaja. Yang menjadikan Al-Quran itu mukjizat pada sains ialah hakikat bahawa ayat-ayat Al-Quran itu keluar dari lidah seorang yang buta huruf, tidak tahu membaca dan menulis. Tidak pernah meneroka lautan dalam, hidup di tengah padang pasir berbukit-bukau. Jadi bagaimana dia tahu akan semua penemuan sains yang terkandung dalam Al-Quran? Tidak lain jika semua ayat-ayat itu datang dari kuasa yang lebih tinggi iaitu dari tuhan yang redha dengan Islam sebagai agamaNya.
Balik singgah pandu lalu McD TC. Ramai orang di TC. Penuh parking MPK sampai ke bahu jalan. Nampaknya masih banyak usaha yang orang dakwah perlu lakukan. Sebab aku tak yakin mereka yang datang ke TC ni duduk berwirid mengingati Allah S.W.T di pantai ciptaanNya ini. Kita adalah apa yang kita pilih. Semoga apa yang kita pilih selari dengan tujuan diciptakan kita ke muka bumi ini, kerana jika tidak, kita dengan sengaja memilih untuk ke nerakaNya, selama-lamanya.