title

31 Oct 2012

Buku : Cinta Suci Zahrana


Ada beberapa pekara yang aku suka tetapkan pada diri aku sendiri. Bukan peraturan, bukan sifir dan bukan hukum. Salah satu pekara itu ialah terus beli kalau jumpa benda-benda yang aku berkenan, yang telah lama aku cari atau yang memang aku cari. Biasanya buku kerana dalam banyak kejadian, yang dicari itu tiada lagi bila datang kali keduanya.Itulah yang aku lakukan bila terjumpa lagi karya Habiburrahman El Shirazy ini. Kalau novel-novel lain, aku akan ambil masa untuk fikir untuk beli dengan membaca ulasan dari internet terlebih dahulu. Tetapi novel Habiburrahman El Shirazy aku akan terus beli tanpa fikir panjang.
Cinta Suci Zahrana yang aku baca merupakan edisi bahasa Melayu terbitan Ar-Risalah. Permulaan novel ini masih menampakkan tipikaliti watak utama Habiburrahman El Shirazy. Sekurang-kurangnya dari tiga novel yang aku baca. Watak Dewi Zahrana seperti juga watak Ayyas dalam Bumi Cinta dan Fahri dalam Ayat-ayat Cinta menampilkan watak orang Indonesia super, yang baik dari segala segi, berpencapaian tinggi dan mampu mengatasi bangsa-bangsa lain. Agak tidak berpijak dibumi nyata. Dalam gaya yang lebih lunak Habiburrahman El Shirazy memang suka menaikkan semangat orang Indonesia khususnya dan muslim umumnya bahawa mereka dan kita sepatutnya dan boleh berjaya seperti itu. Aku pula lebih suka mendapati watak yang lebih tipikal kepada keadaan semasa muslim sekarang dalam karya Habiburrahman El Shirazy yang akan aku beli selepas ini. Untuk menjadi lebih adil, sebenarnya watak utama Cinta Suci Zahrana ini tidaklah sesuper Ayyas atau Fahri. Dalam bab pertama lagi kita sudah dapat membaca konflik yang melanda Dewi Zahrana yang juga tema utama novel ini.
Habiburrahman El Shirazy juga suka menggunakan kejituan lokasi dalam karyanya. Ayat-ayat Cinta mempunyai kejituan lokasi Mesir, Bumi Cinta mempunyai kejituan lokasi Rusia dan Cinta Suci Zahrana menggambarkan Semerang dan Beijing dengan baik sekali. 
Nilai dakwah yang dibawa oleh Habiburrahman El Shirazy dalam setiap karyanya tidak boleh dipertikaikan lagi. Kurang novel yang aku baca mampu memberi nilai dakwah sebegitu dengan tidak mengurangkan nilai sasteranya. Novel yang setara dengannya ialah Imam oleh Sasterawan Negara Abdullah Hussain.Novel ini walaupun tidak setebal Bumi Cinta namun berjaya mengetengahkan konflik yang lebih baik. Ayyas aku kira hanya bersuka-suka sahaja dalam Bumi Cinta, Zahrana pula terpaksa melalui masalah tipikal anak dara tua.
Tetapi aku tidak senang dengan jalan ceritanya. Boleh dikatakan juga kecewa. Seperempat buku menceritakan akan pencapaian Zahrana dan bagaimana dia boleh terlibat dengan konfliknya tetapi cara konflik itu ditamatkan agak mendadak. Kecuali Pak Sukarman, calon-calon suami Zahrana tidak diceritakan dengan terperinci akan sikap mereka. Hanya sebagai tempelan akan calon suami yang tidak ideal atau Islamik. Tidak diceritakan kenapa mereka mahukan Zahrana sebagai isteri. Malah Rahmad yang hampir berkahwin dengan Zahrana juga tidak mendapat tempat yang banyak dalam jalan cerita novel ini. Ini membawa pengakhiran yang lebih kurang serupa dengan Bumi Cinta. Watak yang paling dibazirkan ialah Edi Nughara. Aku menanti dengan penuh harapan yang Edi Nughara akan bernikah dengan Zahrana, tetapi tidak kesampaian.
Keseluruhannya Cinta Suci Zahrana merupakan novel dakwah yang baik dari Habiburrahman El Shirazy. Habiburrahman El Shirazy masih mempunyai sentuhan emas apabila mengadunkan karya cinta yang disukai remaja dengan dakwah dan sastera. Aku tidak akan berhenti mengumpul karya Habiburrahman El Shirazy ini.

No comments: