title

24 Nov 2012

Lalu ikatan itu dimetrai


Hubungan saudara kandung adalah satu hubungan yang istimewa. Kita mula belajar berkawan dengan saudara kandung. Dengan mereka jugalah kita belajar berkongsi dan bertanggungjawab.
Aku tidak tahu jika ada keluarga lain yang mempunyai hubungan seperti kami adik beradik. Kami tidak rapat walaupun kami tidaklah bergaduh juga, hanya perasaan hormat yang amat formal di kalangan kami. Sekurang-kurangnya itulah yang aku rasakan. Mungkin akibat sudah berjauhan dari keluarga dari waktu usia muda. 
Perkahwinan membuka ruang untuk aku melihat akan hubungan saudara kandung dari sudut pandang yang berbeza. Hubungan yang lebih rapat dan ceria. Itulah keluarga isteriku. Hubungan yang lebih santai. Apa yang paling tidak ku sangka ialah bagaimana aku boleh menyesuaikan diri dengan keluarga ini dengan mudah. Mungkin itulah yang dikata orang, apabila kita bukan sekadar berkahwin dengan isteri kita tetapi juga kepada keluarganya.
Sebenarnya aku masih tidak dapat menerima hakikat yang adik bongsuku telah mengikat tali pertunangan. Dia semakin hampir kepada alam rumah tangga namun kami masih tidak dapat melepaskan imej adik bongsu darinya. Dia membawa keceriaan setiap kali kami berkumpul semua. Sesuatu yang tidak dapat diharapkan dariku. Aku dan dia berbeza dalam cara yang baik. 
Tahniah Luqman Maat atas ikatan pertunangan yang telah dimetrai. Langkah sudah semakin dekat, namun perjalanan masih jauh. Mohonlah pada Allah S.W.T semoga dipermudahkan.


4 Nov 2012

Buku : Cinta di rumah Hasan Al-Banna


Cinta di rumah Hasan Al-Banna merupakan sebuah buku kecil yang langsung tidak tebal, sekadar 75 muka tetapi mempunyai manfaat yang tiada tara nilainya kepada para ayah yang tercari-cari model untuk mendidik anak. Pada zaman kita hari ini, zaman yang dikatakan orang zaman kebangkitan Islam, lahir ramai para tokoh pembaharuan Islam, ulama dan pendakwah. Walaupun terdapat banyak artikel, biografi dan dokumentasi mengenai para tokoh ini, jarang sekali kita mendapat tahu bagaimana pembawaan mereka dalam mendidik pengikut mereka yang paling dekat, iaitu keluarga mereka. Buku ini merungkai kekosongan itu kepada As Syahid Hassan Al Banna. 
Sebelum anda membalas komentar ini dengan mengatakan model yang paling baik dalam mendidik keluarga ialah Rasullullah S.A.W, yakinlah bahawa buku ini tidak sesekali mahu meyakinkan anda sedemikian. Malah pada bab pertama lagi telah dinyatakan yang terbaik ialah Rasullullah S.A.W, dan As Syahid Hassan Al Banna adalah contoh tokoh di zaman moden ini yang mengamalkan setiap ajaran Rasullullah S.A.W ini. 
Buku ini tidak tebal kerana hakikatnya tidak banyak yang dapat diungkapkan oleh penulis akan didikan As Syahid Hassan Al Banna kepada keluarganya. Namun begitu setiap pekara yang diungkapkan penulis adalah sangat segar dan bernas. Sebenarnya tiada pekara baru yang dilakukan As Syahid Hassan Al Banna, tetapi cara dia melakukannya tampak segar dan penuh dengan hikmah, pada zamannya dan juga waktu kini. Ada juga yang tampak mustahil pada pemikiran kita, tetapi untuk orang yang menjual hidupnya pada jalan Allah S.W.T, jelas Allah S.W.T akan memberikan yang mustahil tanpa selindung.   
Secara mudahnya susunan buku ini bermula dengan cara As Syahid Hassan Al Banna mendidik dirinya, kemudian cara dia mendapat jodohnya dan seterusnya cara dia mendidik keluarganya. Ketidaktebalan buku ini membolehkan ianya diulang rujuk dengan mudah, kerana kita mudah lupa dalam menempuh jalan mendidik yang lama dan panjang. Paling aku suka ialah hakikat didikan ayah-anak didalam Al-Quran yang dinyatakan di awal bab, yang menjadikan aku mengakui akan kebenaran Al-Quran. 
Kesimpulan, jika anda adalah ayah yang bertekad mendidik keluarga dengan cara Islam, baca dan ulang baca dan amalkan setiap kandungan buku ini.