title

24 Dec 2012

Buku : Tuesdays with Morrie


Kematian adalah satu kepastian. Tiada makhluk yang mampu melarikan diri darinya, walau sejauh mana dia melarikan diri dan segelap mana dia tempat dia bersembunyi, kematian pasti akan menjemputnya kembali ke tempat dia datang. Tiada makhluk dapat menghindarinya, kerana makhluk semunya sama. Sama kerana kita berasal dari punca yang sama, iaitu kelahirkan. Semua makhluk adalah dilahirkan oleh itu semua makhluk akan mati.
Lalu kita hidup selepas dilahirkan. Fitrahnya kita akan lupa kepada kematian sehinggalah saat kematian itu sangat hampir melainkan kita adalah insan yang tidak lalai. Fitrahnya kita menganggap kematian itu adalah asing dari kehidupan.
Bagaimana jika ada sesuatu yang dapat mengajar kita erti kehidupan melalui kematian? Sesuatu yang dapat menyedarkan kita akan kehidupan yang kita lalui ini, jika itulah yang kita panggil kehidupan.
Karya yang bagus melekat dihati. Itulah yang dapat aku rasai dengan Tuesdays with Morrie ini. Apatah lagi jika karya itu sangat dekat dengan kehidupan yang kita lalui. Kita memang melupakan guru yang mengajar kita. Kita tidak rapat dengan keluarga kita dalam kebanyakkan masa. Kita cenderung untuk mengejar impian sehingga kita tercicir kehidupan yang lebih berharga. Sehinggalah kita disedarkan, disedarkan dari punca yang tidak disangka-sangka. Kematian.
Apa yang menarik mengenai Tuesdays with Morrie ini ialah pekara-pekara yang hendak disampaikan oleh Morrie.Kita akan dapati setiap pekara yang disampaikan Morrie amat berkait dengan kehidupan kita sendiri. Apabila kita mula berfikir akan kaitan isi karya ini dengan diri kita lebih dari apa yang di alami sendiri olah watak-watak dalam karya, disinilah terletaknya kekuatan dan kebijaksanaan Tuesdays with Morrie ini.  
Karya ini akan membuatkan kita berfikir. Karya ini akan membuatkan kita melihat kembali. Karya ini akan mengazamkan. Kita akan berfikir akan tiada salahnya kehidupan yang lebih perlahan, supaya kita ada cukup masa untuk semua orang dan makhluk. Kehidupan yang lebih mudah, yang lebih menghubungkan kepada yang lain, manusia dan alam.

Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah). Dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, kami berikan behagiannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.
(A-li'Imraan 3:145) 

No comments: